Setengah abad pikat hati bos

Jun 9, 2007

Memang menjadi impian seseorang individu untuk mencapai tahap tertinggi dalam kerjayanya. Namun seseorang itu harus sedar bahawa semakin tinggi pangkat yang dicapainya, semakin banyak tanggungjawab serta tugasan yang perlu diselesaikannya.

Untuk menyempurnakan tanggungjawab itu, dia harus mengambil pendekatan proaktif dengan belajar pelbagai kemahiran sebagai persiapan untuk menunaikan tugasan yang akan dihadapinya kelak. Sikap ingin tahu serta ingin belajar harus dihayati sepertimana kata pepatah, belajarlah dari buaian hingga ke liang lahad!

Selain daripada itu, seseorang itu bukan sahaja dapat memikat hati bos untuk memberikan kepercayaan kepadanya, bahkan ia juga dapat mengelakkan beliau daripada dipecat! Situasi ini lazimnya berlaku ketika prestasi sesebuah syarikat semakin menurun.

Dalam keadaan begitu, pelbagai langkah akan dilaksanakan oleh seseorang bos untuk mengawal jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung syarikat itu. Antara pertimbangan yang sering diambil ialah bagaimana untuk melaksanakan sesuatu projek dengan jumlah kos yang minimum dan sedikit.

Milah merupakan seorang kerani di sebuah syarikat terkemuka tanah air. Beliau mula bertugas sebelum komputer mula diperkenalkan. Ketika syarikatnya mula menggunakan komputer, Milah serta rakan-rakan sekerjanya mulai belajar cara untuk mengendalikan komputer.

Hasilnya, bukan sahaja beliau dapat menyelesaikan tugasan yang diberi dengan mudah, bahkan beliau dapat mempertahankan kerjayanya di syarikat itu, walaupun berhadapan dengan saingan daripada graduan-graduan muda. Namun, bos Milah tetap memberikan kepercayaan kepada Milah walaupun usianya telah menjangkau setengah abad.

Di sesetengah sektor, pekerja yang mempunyai pelbagai kemahiran akan mendapat lebih banyak kepercayaan daripada bosnya. Ada di antara mereka yang dikerah untuk melakukan kerja yang bukan sebahagian daripada ruang lingkupnya. Contohnya, ada kerani yang terpaksa menjadi “Mat Despatch” untuk menghantar surat kepada bosnya.

Dalam kes di atas, beliau perlu mempunyai kemahiran untuk menunggang motorsikal di samping mengetahui jalan-jalan singkat yang perlu dilalui untuk sampai ke destinasi. Begitu juga dengan pekerja daripada Indonesia yang banyak bekerja di kedai-kedai makan.

Selain melakukan tugas-tugas biasa seperti mengemaskan meja, membasuh pinggan serta menjadi pelayan, ada di antara mereka yang mengambil inisiatif untuk belajar memasak serta membuat air minuman. Justeru tidak hairanlah ada di kalangan pengusaha kedai makan yang tidak keberatan untuk mengaji mereka! Pelik, tapi benar.

Advertisements